SEJARAH
SUHAKAM
Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597. Akta tersebut telah
diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulung SUHAKAM diadakan pada 24
April 2000.
Usaha
menubuhkan sebuah institusi hak asasi manusia pada peringkat nasional di
Malaysia bermula dengan penyertaan aktif Malaysia dalam Suruhanjaya
Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (United Nations Commission for
Human Rights – UNCHR) pada tahun 1993 – 95 apabila Malaysia dilantik sebagai
ahli Suruhanjaya tersebut oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 1995, Malaysia diberi penghormatan
apabila ketua perwakilannya, Tan Sri Dato' Musa bin Hitam dilantik sebagai
Pengerusi sesi ke-52 UNCHR. Keanggotaan Malaysia dalam UNCHR dilanjutkan bagi
penggal kedua, iaitu dari 1996-1998, dan seterusnya ke penggal ketiga, iaitu
dari 2001-2003.
Pelbagai
sebab telah mendorong Kerajaan Malaysia sehingga akhimya mempertimbangkan penubuhan
sebuah institusi kebangsaan hak asasi manusia. Selain penglibatan aktif
Malaysia dalam UNCHR. Turut mempengaruhi ialah perhatian antarabangsa terhadap
isu hak asasi manusia natijah daripada kejayaan Persidangan Sedunia berhubung
Hak Asasi Manusia pada tahun 1993 di Vienna. Kerajaan-kerajaan yang
menyertainya, termasuk Malaysia, bersetuju bahawa hak-hak asasi manusia
meliputi rangkuman sejagat dan tidak boleh dipisahkan dan mereka juga menyedari
peri pentingnya diwujudkan badan hak asasi manusia di peringkat negara
masing-masing.
Sebagai
ketua perwakilan Malaysia ke UNCHR, Tan Sri Musa telah mencadangkan buat
pertama kalinya kepada kerajaan Malaysia pada tahun 1994 bahawa inilah masa
terbaik bagi Malaysia menubuhkan badan hak asasi kebangsaannya sendiri yang
bebas.
Beberapa
faktor telah mendorong cadangan ini: semakin meluasnya tekanan antarabangsa
terhadap hak asasi manusia dan kesedaran bahawa isu ini melewati sempadan dan
kedaulatan sebuah negara; penglibatan aktif Malaysia dalam sistem Bangsa-Bangsa
Bersatu; suasana dan kepekaan politik di samping kemajuan yang dicapai
masyarakatnya. Menjelang pertengahan tahun 1990-an, tujuh negara Asia, termasuk
dua dari ASEAN - Indonesia dan Filipina – sudahpun menubuhkan institusi hak
asasi kebangsaan masing-masing, manakala Thailand pula sedang membuat persiapan
untuk mengambil langkah yang sama.
Pada
24 April 1999, lima tahun selepas idea itu diajukan, Menteri Luar, Datuk Seri
Syed Hamid Albar, mengumumkan bahawa Kerajaan akan membentang satu Rang
Undang-Undang dalam sidang Parlimen pada bulan Julai 1999 bagi menubuhkan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia. Rang Undang-Undang ini berpandukan
kepada Prinsip Paris 1992 yang memperuntukkan kriteria antarabangsa bagi
penubuhan sesebuah suruhanjaya hak asasi manusia yang bebas dan juga kepada
pengalaman institusi hak asasi manusia yang sudah tertubuh, terutamanya
dirantau Asia Pasifik.
Pada
3 April 2000, Kerajaan mengumumkan perlantikan pengerusi pertama SUHAKAM iaitu
Tan Sri Dato’ Musa bin Hitam dan 12 ahli Suruhanjaya yang akan berkhidmat
selama dua tahun dan penggal perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan. Pelantikan
dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana
Menteri.
Meskipun
Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia membenarkan pelantikan sehingga 20
orang ahli, keputusan dibuat bahawa SUHAKAM akan memulakan tugasnya dengan 13
ahli sehinggalah apabila lebih ramai ahli dirasakan perlu. Ahli SUHAKAM dipilih
bagi mencerminkan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
dan juga berdasarkan pengalaman, iltizam, kebebasan dan kewibawaan individu
berkenaan.
Untuk
membolehkan Suruhanjaya menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan, beberapa
kumpulan kerja yang khusus telah dibentuk, merangkumi pendidikan dan promosi,
pembaharuan undang-undang serta perjanjian dan suratcara antarabangsa, hak
ekonomi, sosial dan kebudayaan, dan aduan dan siasatan.
SUHAKAM
memulakan operasinya di sebuah kabin kontena di Kementerian Luar Negeri sebagai
pejabat sementara. Suruhanjaya akhirnya menyewa premis sendiri di Tingkat 29
dan 30 di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan berpindah kesana
pada 24 November 2000. Bangunan itu dipilih kerana lokasinya di tengah-tengah
bandaraya dan mudah pula dikunjungi oleh orang awam.
Pada
Januari 2011, Suruhanjaya telah berpindah ke premis baru di tingkat 10, 11, 12
dan 13 di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
FUNGSI
& KUASA
Fungsi
SUHAKAM
ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999,
Akta 597. Seksyen 2 Akta ini mentakrif "hak asasi manusia" sebagai
merujuk kepada "kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian
II Perlembagaan Persekutuan".
Fungsi
SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:
1. Untuk
memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia;
2. Untuk
menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan
tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil;
3. Untuk
mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan
dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi
manusia;
4. Untuk
menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
Selain
daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi
perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR)
selagi Pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini
bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi
ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada
percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Fungsi
menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada
syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM
kuasa memulakan sendiri penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak
asasi manusia, di samping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya.
Bagaimanapun, SUHAKAM tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara
prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau
yang sudah diputuskan dengan muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti
dihentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah.
Kuasa
Akta
penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya
dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:
1.
Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi
manusia dan untuk mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan
program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil
penyelidikan itu;
2. Untuk
menasihati Kerajaan dan / atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan
terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan / atau pihak
berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil;
3. Untuk
mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut
peruntukan Akta ini;
4. Untuk
melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang
yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu;
5. Untuk
mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu; dan
6. Untuk
mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang
bertulis yang berkuat kuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.
|
|
|
.jpg)

No comments:
Post a Comment